Senin, 27 Februari 2012

Aku Rasa Belum Beribadah


Aduh, bila aku menghadap-Mu Tuhan di waktu ibadah,
Hatiku pun mula rasa susah dan gelisah,
Aku pun mula bimbang bagaimana nanti aku menyembah-Mu, bersopankah atau sebaliknya,
Kalau aku lakukan juga, jawapannya tentu sama,
Macam-macam rasa di dalam jiwaku,
Takut, bimbang, gelisah dan resah,
Apabila selesai, aku rasa belum beribadah,
Hatiku susah dan gundah-gulana,
Tapi apakan daya, setakat itulah yang terdaya,
Takkan aku hendak mengulanginya sekali lagi,
Nilai ibadahku,
Macam tadi juga,
Kerana itulah Tuhan, setiap kali lepas sembahyang,
Aku dahulukan memohon ampun kepada-Mu terhadap sembahyangku, selepas itu baharulah dosa-dosaku,
Begitulah juga Tuhan selepasku membuat dosa,
Hatiku lagi parah, susah dan gelisah,
Tapi aku ini lemah bermujahadah,
Selepas itu aku ulangi lagi membuat salah,
Hatiku susah lagi dan gundah
Tuhan! Engkau tampunglah ibadahku mana yang kurang,
Maafkan aku yang tidak sempurna,
Ampunkan aku mana yang terlanjur,
Kerana hal itu bukan aku suka,
Itulah kelemahanku,
Engkau pun tahu,
Rahmat-Mulah yang aku pinta

0 komentar:

Posting Komentar